Ramadhan #2 : Fadhilat Ramadhan!
Assalamualaikum,
Hadis dari Sahl bin Saad r.a sesunguhnya Nabi bersabda : “Sesunguhnya di syurga terdapat satu pintu yang dipanggil Ar-Rayan yang hanya dimasuki oleh golongan orang yang berpuasa sahaja pada hari Kiamat nanti. Maka berkatalah : “Dimanakah orang-orang yang berpuasa? Maka golongan yang berpuasa pun bangun dan masuk ke pintu tersebut dan pintu syurga tersebut ditutup sebaik sahaja mereka semua memasukinya dan sesiapa pun tidak memasukinya lagi selepas itu.” – Bukhori
Hadis dari Abu Hurairah r.a : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Puasa itu adalah perisai” (Melindungi dan memelihara dari api neraka dan dari setiap perkara yang boleh menjuruskan kepada syahwat dan dosa) – An-Nasaie
Allah s.w.t telah menjelaskan banyak perkara tentang kemuliaan bulan Ramadhan yang merupakan ‘Shahrul Allah‘ – Bulan Allah s.w.t, Shahrul Quran – Bulan Quran, ‘Sayidul Shuhur‘ Penghulu bulan dan sebagainya. Di antara kelebihan bulan Ramadhan ini :
- Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan
- Syurga di buka seluas-luasnya
- Neraka ditutup
- Syaitan dirantai
- Para malaikat memohon keampunan untuk mereka yang berpuasa sehingga dia berbuka
- Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi dari bau kasturi di sisi Allah s.w.t
- Terdapat malam ‘Lailatul Qadar’ yang menyamai 1,000 bulan (83 tahun)
- dan sebagainya
Hadis “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampuni dosa-dosanya yang lalu” – Bukhori
Di bulan Ramadhan ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan beberapa amalan, antaranya :
- Membaca Al-Quran – Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan mengkhatamnya di bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sekali. “Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa Jibril a.s telah membentangkan bacaannya kepada Nabi sekali bagi setiap tahun pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Rasulullah s.a.w dibaca sebanyak 2 kali” – Bukhori & Muslim
- Qiamullail – Sesungguhnya bangun malam juga merupakan salah satu dari jihad yang perlu dilakukan pada bulan Ramadhan ini. Fadhilatnya amat besar berdasarkan hadis : “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan keinsafan makan diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu” – Bukhori & Muslim
- Bersedekah : Perbanyakkan bersedekah pada bulan mulia ini. “Ibnu Abbas r.a berkata : “Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling pemurah pada bulan Ramadhan……..” – Bukhori
- Memberi makan & menjamu makanan (berbuka) – “Sabda Rasulullah s.a.w : Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.” – At-Tirmizi
- Menjauhi percakapan buruk atau menjaga lidah – “Barangsiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus menerus melakukannya maka Allah s.w.t tidak berhajat kepada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum itu (berpuasa)” – Bukhori
- Perbanyakkan berdoa, berzikir dan beristighfar – Allah s.w.t membuka seluas-luas pintu Rahmat dan Keampunan-Nya pada bulan Ramadhan dan doa orang-orang yang berpuasa dimakbul oleh Allah s.w.t. “Rasulullah s.a.w menyebut bahawa tiga doa yang tidak ditolak oleh Allah s.w.t antaranya ialah orang-orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.” – Tirmizi
- Umrah – Mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan bagi yang berkemampuan berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w “Satu umrah pada bula Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji” – Bukhori & Muslim
- Beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan dan sebagainya
Oleh itu adalah satu kerugian yang besar jika sekiranya kita tidak merebut peluang keemasan yang diberikan oleh Allah s.w.t pada bulan Ramadhan ini. Inilah peluang untuk kita sewaktu masih diberikan peluang untuk berjumpa dengan Ramadhan ini kerana kita tidak tahu adakah kita diberikan peluang ini pada masa depan nanti.
Rasulullah s.a.w bersabda sewaktu menaiki mimbar di Madinah : “Alangkah malangnya orang-orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya” – Ibnu Khuzaimah
Popularity: 8% [?]
No related posts.













.gif)



Sama-samalah kita mencari sebanyak mungkin pahala pada bulan ramadhan ni..
Insyaallah, sama-samalah kita cuba mengamalkannya dengan sebaik2nya.